Friday, September 26, 2008

Thursday, September 25, 2008

manakan kucari pengganti myfam??


ikhlas dr nalurku,
aku rindu jiwa2 yg serg mendidikku,
berkongsi mslh dgnku,
selisih pendapat denganku,
memujukku,
bergurau denganku,
& meniup smgt kpdku,
ku mohon padaMu Ya Allah,
walaupun kami berjauhan..
Kau eratkanlah ukhwah kami,
walau di mana aku brada,
Kau kurniakanlah aku sahabat,
teman sejati,
yg memahami aku,
dan aku memahami dia,
yg sentiasa bersama di kala susah dan senang,
yg bersama dlm perjuangn agamaMu dan dlm perjuangn menuntut ilmu.....
amin ya rabbal a'lamin....

Sunday, September 21, 2008

DEBAT TUDUNG MUSLIMAH; BIDASAN TERHADAP RAJA PETRA MALAYSIATODAY...

WAJIB BACE.......!!

Tulisan ini adalah hujah balas kepada Raja Petra Kamaruddin dan rakan seangkatan dengannya (anti hadis dan Islam Liberal) berkenaan aurat wanita Muslim di dalam blog popularnya (Malaysia Today). Sumber

RAKAN RAJA PETRA MENULIS:

Di dalam artikel tersebut ada ayat yg mengatakan: "Nampaknya, tudung hanyalah di "kurniakan" kepada isteri-isteri Nabi dan bukan ke atas semua wanita..." Jadi saya telah melihat ke dalam Al-Quran dan menjumpai beberapa benda.

1) "Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)

Komen: Pertamanya, lihat maksud ayat "supaya mereka boleh dikenali dan tidak diganggu". Ini bermakna sekurang-kurangnya, bahagian muka mesti boleh dilihat. Adalah menjadi kesalahan utk mengatakan kaum perempuan lain di masa itu (bukan Arab, Yahudi, Kristian) tidak memakai tudung. Sebenarnya, kaum perempuan Yahudi dan Kristian memakai tudung yg lebih konservatif drpd wanita-wanita Muslim.

Menutup badan juga adalah kemestian bagi kaum lelaki dan wanita yg tinggal di padang pasir. Ia tidak ada kaitan dgn mana-mana agama. Jadi apabila ayat tersebut menyatakan "supaya mereka boleh dikenali" ia sebenarnya bermaksud kaum wanita tidak perlu menutup muka atau kepala mereka sehingga tidak boleh dibezakan mereka dgn kaum perempuan Kristian dan Yahudi yg juga memakai tudung. Ini bermakna, tidak ada langsung perkara memakai tudung untuk menutup kepala dan muka.

Terjemahan Surah Al-Ahzab ayat ke 59 secara umum:

Ya ayyuhan nabi : Wahai Nabi

qul li-azwajika wabanaatika : beritahulah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu

wa nisaa i mu'mineena : dan wanita-wanita yang beriman

yudneena : untuk memanjangkan

Alayhinna : ke atasnya

min jalabeebihinna : daripada pakaian/tudung.

KOMEN UZAR

Malangnya, anda telah tersalah-tafsir ayat di atas dan memahaminya di luar konteks sebenar, saya kira ia adalah kerana anda tidak meneliti seluruh struktur ayat tersebut.

Realitinya, sebagai hamba Allah SWT dan pengikut Rasulullah SAW, kita diajar untuk selalu kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith untuk mendapatkan kepastian terhadap hukum sesuatu perkara. Berkenaan topik ini, Allah SWT Berfirman:-

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)

Ulama telah bersepakat bahaya setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad S.A.W juga adalah ditujukan kepada setiap Muslim melainkan jika berlainan disampaikan oleh Baginda S.A.W melalui Hadith atau ayat-ayat Quran yang lain. Contohnya: Nabi mempunyai lebih dari 4 orang isteri dalam satu-satu masa, ianya dipanggil "Khususiyat Anbiya" yang tidak dibenarkan untuk diikut oleh umat Muhammad kerana atas ketentuan khusus oleh Allah SWT untuk Nabi beserta dengan sebab-sebab yang lain.

TIDAK TERHAD KEPADA ISTERI NABI SAHAJA

Dari itu, dalam perkara ini, menutup aurat termasuklah kepala, rambut, leher dan dada adalah satu perintah yang bukan hanya terhad kepada isteri-isteri Nabi, tetapi juga kepada seluruh kaum wanita Muslim. Ianya bukanlah hanya budaya bangsa Arab yang tinggal di padang pasir yang berdebu, tetapi adalah suatu perintah agama yang khusus. Malah kita dapat melihat bagaimana Allah swt mengarahkan Nabi untuk menyampaikan arahan menutup aurat ini kepada seluruh wanita yang beriman sebagaimana firman Allah :-

وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ

Yang bermaksud: "Wanita-wanita yang beriman"

Oleh itu sesiapa sahaja yang mengaku Muslim lagi mukmin, wajiblah mereka tunduk dan patuh serta mentaati perintah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat tadi.

Definisi jilbab yang disebut di dalam ayat tadi adalah pakaian yang dipakai oleh kaum wanita (sama seperti baju kurung) untuk menutup badan mereka. Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa di zaman Jahiliyah, apabila segelintir wanita keluar dari rumah, mereka gemar menunjuk-nunjuk sebahagian kecantikan mereka seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka diganggu oleh lelaki-lelaki yang gemar melakukan zina.

Kemudian, ayat di atas diturunkan memerintahkan wanita-wanita Muslim untuk memanjangkan (beerti dari bahagian atas ke bahagian dada dan bukannya hanya di bahagian dada sahaja) jilbab mereka supaya menutup bahagian-bahagian badan yang boleh mendatangkan fitnah. Dengan cara ini, mereka akan dikenali sebagai wanita suci, mulia dan bersih (‘afifah) dan menepati ciri wanita Muslim sebenar. Jadi, dengan demikian mereka akan dikenali sebagai bukan kumpulan wanita murahan yang boleh dipermain dan diganggu maruahnya.

tudung

Ayat di atas menunjukkan bahawa menutup aurat itu adalah lambang atau tanda seorang Muslim. Allah SWT juga Berfirman:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

"Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati." (Al-Haj : 32)

Oleh itu, sebab utama (‘illah) untuk perintah di atas adalah untuk mencegah wanita-wanita Muslim daripada diganggu lelaki-lelaki jahat. Pakaian-pakaian yang mendedahkan kecantikan wanita atau cara jalan atau percakapan yang menggoda sudah tentu akan menaikkan nafsu syahwat kaum lelaki. Kelakuan begini akan mengundang kaum lelaki untuk berfikiran jahat dan mencabul. (Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit olahan)

WANITA YAHUDI DAN KRISTIAN BERTUDUNG, MAKA MUSLIMAH PERLU BUKA TUDUNG ?

Adalah SALAH juga untuk mendakwa bahawa kononnya erti dari ayat iaitu "supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, " membawa erti bahawa bahagian kepala, rambut dan muka mesti didedahkan bagi memperbezakan antara wanita Islam dan wanita kristian dan Yahudi yang juga kononnya bertudung (sebagaimana dakwa rakan Raja Petra dan dipersetujuinya).

Saya mengatakannya salah adalah kerana sebab berikut :-

Pertama: Adakah logik untuk mengatakan kita hanya boleh mengenali seseorang wanita dengan melihat wajahnya dan rambutnya? Sudah tentu tidak, kita boleh mengenali mereka dengan pelbagai cara, sama ada dengan mendengar suaranya atau perkara-perkara lain selain dari wajahnya.

Kedua: Sebenarnya kebanyakan wanita-wanita Jahiliyah TIDAK BERGAMA KRISTIAN MAHUPUN YAHUDI, mereka tidak memakai tudung sama sekali dan sebahagian mereka memakai tudung berpandu kepada hawa nafsu dan kesukaan mereka, ini menjadikan tudung mereka sama sekali tidak menyerupai tudung wanita Islam. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3/285).

WANITA JAHILIYYAH TIDAK BERTUDUNG!

Perihal keadaan wanita Jahilyyah disebut sifat mereka di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Aby Hurairah dimana Rasulullah SAW bersada:

"Dua golongan penghuni neraka yang tidak aku nampak: (1) manusia yang mengibaskan tali cemeti seperti ekor kerbau pada mereka dan mereka akan memukul manusia yang lain (pemerintah yang zalim); (2) perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang condong (pada kejahatan) dan menarik orang lain condong kepadanya. Kepala mereka akan jadi seperti bonggol unta ‘bukhtun' yang condong kepada suatu arah. Mereka tidak akan masuk Syurga dan mereka tidak akan cium bau Syurga sedangkan bau Syurga itu boleh dihidu daripada jarak-jarak yang tertentu" (Riwayat Muslim, Sohih).

Wanita-wanita JAHILIYAH dikatakan memakai pakaian tetapi masih berbogel kerana mereka memakai baju tetapi tidak menutup aurat kerana baju tersebut adalah nipis (boleh ditembusi pandangan) dan mendedahkan tubuh mereka; seperti banyaknya pakaian wanita hari ini. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qardawi)

‘Bukhtun' di dalam hadith di atas adalah sejenis unta yang mempunyai bonggol yang besar. Rambut wanita menyerupai bonggol unta tersebut apabila diikat dan disanggul di atas kepala.

Semua sabdaan Nabi ini membuktikan perempuan-perempuan Jahiliyah tidak menutup kepala dan rambut mereka. Manakala wanita Kristian dan Yahudi yang didakwa memakai tudung seperti tudung Islam oleh rakan Raja Petra itu, saya kira adalah lebih dibawakan bukti dari kitab Injil atau Taurat.

Selain itu, apakah yang membuatkan anda terlalu pasti bahawa bertudung pakaian sebenar perempuan Kristian di Makkah dan Madinah di waktu itu? Golongan Yahudi pula terlalu sedikit di Madinah untuk diambil kira dan kita juga tidak tahu secara sohih jenis tudung mereka.

Ada segolongan manusia yang cuba menyokong idea mereka dengan membawakan gambar-gambar ‘tudung' Yahudi dan Kristian, yang diambil dari wikipedia dan sumber-sumber yang lain.

Saya katakan, tunjukkanlah pada kami ayat di dalam Injil dan Taurat yang mendefinasikan ‘tudung' Kristian dan Yahudi, yang tanpanya, gambar-gambar yang anda bawakan adalah tidak mencukupi sama sekali, sia-sia dan tidak boleh dirujuk langsung. Sekali lagi, tunjukkan ayat-ayat Injil dan Taurah yang sebenar.

Sekalipun jika anda mampu membawakan perintah-perintah menutup kepala bagi wanita Kritsian dan Yahudi di dalam kitab Injil dan Taurat ( yang hakikatnya sudah dipesong habis oleh paderi sejak zaman Nabi lagi), tidak kiralah apa jenis tudung mereka sekalipun, wanita-wanita Muslim tetap mempunyai tugas untuk dilaksanakan, iaitu memakai tudung mengikut satu garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.

Selain itu, jika benar pun ‘tudung' bagi wanita Kristian dan Yahudi adalah seperti tudung wanita Muslim, maka apakah masalahnya jika sama dalam perkara yang baik dan suci? Smaa seperti Islam mendokong keadilan dan demikian juga agama lain.

Kita mesti fahami dan menyedari bahawa agama asal An-Nasara dan Al-Yahudi (sebelum diubah sepertimana sekarang ini) adalah juga agama samawi iaitu suatu ajaran yang diturun oleh Allah melalui Nabi Isa dan Nabi Musa a.s kepada kaum mereka ahli Kitab. Oleh itu, persamaan dalam beberapa aspek adalah normal dan boleh diterima.

KRISTIAN HANYA BERTUDUNG TATKALA SEMBAHYANG

Walaubagaimanapun, realitinya, tunjukkan berapa ramai Kristian dan Yahudi yang memakai ‘tudung' secara terbuka? Anda patut sedar bahawa sifat tudung kristian adalah Berebza DIMANA MEREKA HANYA UNTUK menutup kepalanya hanya setiap kali mereka ingin bersembahyang, sama ada di gereja atau di rumah. Ini bermakna jika dia tidak bersembahyang di rumah, kepalanya akan terdedah di kalangan tetamu lelaki yang tidak ada kaitan keluarga dengannya; atau jika dia bersembahyang di rumah, kepalanya ditutup walau kepada suaminya dan keluarganya sendiri.

Kesimpulannya, jika perempuan Kristian hanya memakai ‘tudung' semasa bersembahyang, maka tiada persamaan yang perlu diambil kira sebagaimana dakwaan rakan Raja Petra. Malah perkataan "untuk dikenali" di dalam ayat tadi juga sebeanrnya telah disalahtafsirkan oleh Raja Petra dan rakan-rakannya.

RAKAN RAJA PETRA MENULIS :

2) "Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasaannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhias yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." Surah An-Nur (24), ayat 31.

Raja Petra's friend Comment : Sekali lagi tiada disebut langsung pasal kepala (ru'usa) di dalam ayat ini atau muka (wujuh/wajh). Sila perhatikan perkataan ‘menarik pakaian luarannya ke atas dada mereka'. Terjemahan bahasa Arabnya adalah seperti berikut:

walyadribna : dan tutuplah

bi khumurihinna : dengan pakaian luarannya

Ala : ke atas

juyoobihinna : dada mereka

Wanita diperintahkan untuk menutup dada mereka. Itu sahaja. Ini sama dengan petikan Surah Al-Ahzab ayat 59 di atas di mana kaum wanita diperintahkan untuk melabuhkan pakaian mereka. Tiada langsung disebut kepala (ru'usa), muka (wujuh) atau rambut.

KOMEN UZAR UNTUK NOMBOR 1 & 2 :

Allah Yang Maha Perkasa telah Berfirman:-

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksudnya: Dan katakan pada wanita-wanita beriman: "Hendaklah mereka melabuhkan kain-kain penutup kepala (tudung) sehingag bahagian dada mereka janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.."

Saudara Raja Pete atau rakan anda, mengapakah kamu atau dia hanya bertumpu sekitar beberapa perkataan di dalam ayat tersebut dan tidak memberikan perhatian kepada yang lainnya.?

FAHAMI ERTI 'KHUMUR'

Raja Petra dan rakannya telah menafsirkan ‘Al-Khumur' secara tidak tepat, ini berpunca dari kaedah terjemahan dan kefahaman yang dibuat secara harfiah (perkataan demi perkataan) , kaedah terjemahan dan pemahaman sedemikian tidak akan dapat membantu anda memahami perkataan tersebut dengan betul.

Jika anda mampu memahami perkataan "al-Khumur' dengan sebenar, ia akan memberikan anda jawapan kepada soalan yang anda sendiri reka dan menjawab andaian-andaian salah yang anda cipta iaitu apabila anda berkata : "Tiada LANGSUNG disebut tentang kepala atau rambut".

Maksud sebenar khumur (tudung) adalah apa sahaja yang digunakan untuk menutup kepala. Manakala ‘juyub' (kata ganda bagi jaibun) adalah bentuk dada yang tidak ditutup dengan kain. Oleh itu, setiap wanita mestilah menutup tidak hanya kepala mereka tetapi juga dada termasuklah leher, telinga dan segala bahagian badan yang boleh membuatkan kaum lelaki menjadi tertarik.

Untuk memahami teks Quran dengan betul, seseorang mestilah menyelami dan mencari penggunaan istilah secara tepat di dalam bahasa Arab. Dia juga harus tahu bagaimana cara istilah atau perkataan itu digunakan di dalam masyarakat Arab kerana Quran diturunkan didalam bahasa Arab kepada masyarakat Arab di waktu itu.

Displinnya adalah mudah sahaja dan ia terpakai untuk semua jenis bahasa di tempat masing-masing. Sebagai contoh jika anda berada di United Kingdom, apabila orang tempatan berkata "It cost the earth" maka secara semulajadi akan difahami ertinya iaitu 'terlalu mahal dan apabila disebut "I hit the roof" beerti sudah marah. Perkataan ‘Motorway' beerti highway dan lain-lain. Tentunya, mereka yang biasa sahaja akan dapat memahami dengan tepat.

Demikian juga penggunaan perkataan tertentu untuk maksud tertentu yang sudah amat difahami oleh orang setempat seperti perkataan ‘rumah' yang termasuk dalam takrifannya adalah tanahnya, dapur dan tandasnya.

Sama juga halnya dengan bahasa daerah di Malaysia, seperti 'nate' bermaskud binatang dan penghinaan dan lain-lain.

Sama seperti kes dalam ayat ini, apabila Allah menggunakan kalimah "khumur", ia sudah difahami oleh Nabi dan para sahabat setempat ia bermaskud kain yang menutupi kepala. Ia dijelaskan sendiri oleh pakar tafsir di kalangan sahabat iaitu Ibn Abbas r.a.

Justeru, ia sebenarnya tidak termasuk dalam kes takwil perkataan tertentu dalam ayat dan sepertinya. Malah ia termasuk dalam ilmu Usul Fiqh dalam perbincangan Ibaratun Nas, Dalalah an-Nas, Isyaratun Nas dan lain-lain. Sebab itulah ilmu Usul Fiqh wajib dikuasai bagi mereka yang ingin pergi dalam dalam memahami Al-Quran. Tanpanya, anda perlu merujuk ulama yang pakar sama ada dari tafsir-tafsir ulama silam, kontemporari dan sebagainya.

Dari itu, adalah baik untuk mendapat pengetahuan tentang cara hidup masyarakat Arab yang silam (terutamanya pada masa Nabi S.A.W) sebelum seseorang boleh memahami maksud sebenar sesuatu ayat. Bagi memenuhi kehendak ini, merujuk kepada buku-buku tafseer daripada Imam-Imam Tafseer adalah amat penting bagi mengelakkan diri kita dari tersalah-tafsir dan tersalah faham.

Malah sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami Islam dengan serius mereka disarankan untuk menziarahi negara-negara Arab untuk merasakan suasana dan membiasakan diri dengan penggunaan perkataan-perkataan tertentu dalam perbualan masyarakat Arab dewasa ini. Ini sudah tentu dapat membantu lagi dalam memahami bahasa Arab di dalam Quran.

Bila Allah SWT menyebut "Khumurihinna", apa yang mesti kita fahami pertamanya,

Apakah yang dimaksudkan dengan "khumur"?.

Jawapannya ialah tudung yang menutupi kepala, rambut, telinga dan sebagainya. Apabila seseorang menyebut "khumur" di depan seseorang lain yang arif tentang bahasa Arab, apakah yang dia akan faham? Sudah tentulah, tudung juga. Fakta ini telah banyak dibahaskan oleh Ulama Islam yang hebat seperti Imam At-Tabarii (wafat 301Hijriah) di dalam tafseernya yang terkenal, Jami al-Bayan dan juga Imam Ibn Katheer (Tafseer At-Tabari, 18/120; Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/285)

SATU LAGI DALIL PERLU BERTUDUNG SEMPURNA

Selain dari khumur iaitu kain tudung yang menutup kepala wanita, dan juyub yang menutup leher dan dada kaum wanita, ayat tersebut juga menekankan satu lagi aspek yang secara putus termasuk rambut, kepala dan leher iaitu firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksud: "dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.."

Adakah anda faham apakah yang dimaksudkan dengan "perhiasannya" di dalam ayat ini?

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi, perhiasan yang dimaksudkan di atas merujuk kepada apa sahaja yang dipakai untuk mencantikkan diri seseorang; sama ada yang diKurniakan Allah seperti wajah, rambut dan bentuk tubuh; atau kecantikan yang dibuat manusia seperti baju, barang kemas, make-up dan lain-lain.

Di dalam ayat di atas, Allah Memerintahkan wanita untuk menyembunyikan perhiasan diri mereka tanpa pengecualian. Walaubagaimanapun, pengecualian hanyalah pada "yang (biasa) nampak daripadanya". Para Ulama mempunyai perselisihan pendapat tentang apakah maksudnya dan batas-batas "perhiasan, kecuali yang (biasa) nampak" tetapi kesemuanya bersetuju bahawa tiada pengecualian untuk rambut dan kepala.

Ini adalah berdasarkan hadith berikut:-

Saidatina Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa saudara perempuannya Asma' binti Abu Bakar masuk ke rumah Nabi S.A.W memakai pakaian yang nipis dan jarang sehinggakan menampakkan bentuk tubuhnya. Nabi S.A.W lalu memalingkan muka Baginda daripada Asma' dan berkata:

"Wahai Asma'! Sesungguhnya apabila seseorang wanita telah mencapai umur baligh, dia tidak boleh mendedahkan badannya kecuali ini dan ini - sambil menunjukkan muka dan kedua tapak tangan (kedua-dua tangan)." (Riwayat Abu Daud)

Walaupun ada perbincangan tentang perawi hadith ini, ianya dikuatkan dengan banyak lagi hadith yang membenarkan mendedahkan muka dan tangan jika ianya tidak membawa mudharat (fitnah). (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

Hadith ini juga menyokong pendapat bahawa kepala dan rambut wanita adalah ‘aurat dan mesti ditutup oleh wanita Muslim, kecuali muka dan tapak tangan atau tangan yang boleh dilihat oleh masyarakat umum.

Memang benar, terdapat perbincangan tentang apakah yang dimaksudkan dengan "perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya" iaitu bahagian yang dibolehkan terdedah sebagaimana yang dinyatakan di dalam AL-Quran tadi. Namun, sepakat ulama 4 mazhab dan Ijma' ia BUKANLAH rambut, leher, telinga dan kepala.

Ibnu Abbas R.A., salah seorang sahabat terulung Nabi S.A.W. menafsirkan "perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya" adalah celak mata dan cincin. Anas Bin Malik R.A juga sependapat dengan beliau.

Oleh itu, bahagian badan yang mempunyai celak mata dan di mana cincin dipakai (iaitu muka dan tangan) adalah dikira sebagai "yang (biasa) nampak". Ini juga merupakan pendapat Tabi'in seperti Said bin Jubair, ‘Atha', Auza'i dan lain-lain.

Bagaimanapun, Ummul Mukminin Aisyah R.A., Qatadah dan beberapa yang lain berpendapat gelang sebagai "yang (biasa) nampak". Oleh itu, pergelangan tangan (di mana gelang dipakai) juga dikira sebagai "yang (biasa) nampak" jika ianya tidak menimbulkan fitnah. Berkenaan batas pergelangan tangan ke siku, ianya masih dibincangkan di kalangan Ulama; dari itu adalah lebih baik untuk menutupi bahagian antara pergelangan tangan dan siku.

RAKAN RAJA PETRA menyatakan:

3) Untuk menterjemah Quran, kita perlu pergi kepada ahlinya. Dalam keadaan apa ayat itu diturunkan, dll. Tapi bukan semua Ulama tahu perkara ini.

Komen: Kita TIDAK menterjemah Quran. Boleh saya cadangkan suatu yang lebih mudah? Kenapa tidak hanya membacanya? Jika kita baca Quran dalam bahasa Arab dan kemudian melihat terjemahannya baik-baik, kita akan dapat memahaminya. Anda TAK PERLU TAHU bahasa Arab pun. Contohnya, perkataan arab untuk KEPALA, tidak pernah disebut di dalam mana-mana ayat di atas. Begitu juga dengan muka dan rambut. Jadi bagaimana penterjemah memasukkan kepala, muka dan rambut? Seseorang mesti terangkan perkara ini.

KOMEN UZAR

Saya telah menjawab kenyataan salah ini dan tidak perlu lagi disentuh perkara ini.

Apakah anda fikir Allah hanya akan menggunakan ru'asa untuk memberi erti kepala dan sya'run kepada rambut? Anda benar-benar keliru Encik Raja Pet dan rakan. Apabila Allah SWT melarang kita walau berkata ‘Ah' kepada kedua orang tua kita sebagaimana yag disebut di dalam surah Luqman. Jadi adakah boleh kita menyebut ‘Uh' dan bodoh dan sebagainya kepada kedua orang tua kita hanya kerana ianya tidak disebut dalam Quran dengan jelas?

Sebenarnya, apabila Allah melarang perkataan ‘Ah' kepada ibubapa, ini beerti Allah swt juga melarang segala macam ucapan yang mempunyai kesan buruk yang sama, malah bukan hanya perkataan-perkataan keji sahaja, tetapi juga perangai dan kelakuan yang tidak baik terhadap kedua ibubapa. Di dalam ilmu Usul Fiqh ia dipanggil Qiyas al-Awla atau boleh juga dikategorikan sebagai ‘umum al-lafz' yang membawa semua perkataan di bawah maksud yang sama.

Jadi, kepala dan rambut wanita termasuk di dalam perkataan "al-khumur" di dalam ayat tersebut. Semudah itu.

Tentang bahagian akhir artikel Raja Petra, sebahagian hadith telah disalah rujuk jadi saya tidak perlu memberi respon padanya.

MITOS 'DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER'

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?

Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.

Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار

Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.

Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW

من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً

Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.

Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?

Terima kasih atas masa anda.

Yang benar,

Untuk rujukan lanjut:

1) Women Aurah , What Has Happened?

2) Aurat Wanita : Apa Sudah Jadi?

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

10 Sept 2008

10 Ramadhan 1429 H

Wales,UK

Saturday, September 13, 2008

10 WASIAT IMAM HASSAN AL BANNA

1. Apabila saudara mendengar azan, maka bangunlah serta-merta walau dalam apa jua keadaan
2. Bacalah al quran @ buku2 @ mendengar perkara yang baik seperti tazkirah dan amalkan zikrullah
3. Berusahalah mempelajari bahasa arab kerana itu satu2nya syiar islam
4. Janganlah banyak bertengkar dalam apa2 perkara sekalipon kerana pertengkaran kosong itu tidak memberi sebarangt kebaikan
5. Jangan banyak ketawa kerana hati yang hati yang sentiasa nerhubung dengan ALLAH itu tenang
6. Jangan banyak bergurau senda kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh dalam setiap perkara
7. Janganlah bercakap terlalu nyaring kerana percakapan sebegitu adalah resmi yang sia2
8. Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam mana2 pertubuhan melainkan boleh memberi kebaikan
9. Berkenalanlah dengan setiap muslim walaupun dia tidak meminta untuk berkenalan kerana asas dakwah ialah kasih saying dan berkenal kenalan
10. Kewajipan yang ada pada kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara2 bagaimana mengurus masa dengan baik dan jika saudaramu mempunyai tugas sendiri maka ringkaskanlah perlaksanaannya

TIDAK CUKUP HIDUP SEMATA-MATA DENGAN FITRAH,KITA MESTI HIDUP DENGAN TUHAN


Fitrah ialah kehendak atau keinginan semulajadi manusia. Kehendak fitrah manusia itu, ada yang utama dan ada yang kurang utama. Yang utamanya hanya satu iaitu kehendak atau keinginan untuk bertuhan. Yang kurang utamanya banyak. Ini termasuklah keinginan untuk berkasih sayang, berkawan, suka kepada kepada kecantikan dan keindahan, keharmonian, kedamaian, ketenangan dan keamanan dan suka kepada sifat-sifat yang baik seperti lemah-lembut, pemurah, rendah diri, pemaaf dan sebagainya.
Sebenarnya kita boleh hidup aman damai hanya dengan mengikut fitrah kita. Terutama kalau fitrah kita itu masih baik dan belum dirosak atau dicemarkan oleh suasana. Dengan mengikut fitrah seperti ini sahaja, masyarakat boleh menjadi tenang, berharmoni dan bertolong-bantu. Memang itulah keinginan fitrah dan manusia akan berbuat mengikut keinginan fitrahnya itu.Ini dapat kita lihat di dalam masyarakat orang asli yang hidup di hutan. Atas dorongan fitrah, mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan baik di antara satu sama lain. Mereka mampu mewujudkan masyarakat yang mempunyai jalinan yang rapat, bersatu padu dan berharmoni.
Di dunia lain pula terdapat masyarakat yang hidup aman damai. Kalaupun mereka ada undang-undang untuk menghukum penjenayah dan orang-orang yang membuat salah laku, mereka sebenarnya banyak terpandu oleh etika dan kod sosial atau social code masyarakat mereka yang telah diterima bersama. Kadang-kadang etika atau kod sosial ini terkandung di dalam budaya atau tradisi hidup mereka. Ianya tidak bertulis tetapi semua ahli masyarakat memahami dan mengamalkannya.Etika dan kod sosial ini tercetus atas dorongan fitrah bersama yang mahukan ketenangan, keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat mereka.Tetapi ini ialah kedamaian dengan fitrah, bukan kedamaian dengan Tuhan. Tuhan tidak mahu kita damai dan menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata. Tuhan mahu kita jadi baik atas dasar Tuhan.Kedamaian dan kebaikan atas dasar fitrah tidak tahan diuji. Orang yang baik atas dasar fitrah bila berlaku sesuatu ujian, baiknya akan hilang dan jahatnya akan terserlah.. Orang yang pemarah dan panas baran; contohnya, akan tenang sekiranya keadaan tidak menekannya. Tetapi kalau dia ditekan dan disusahkan, dia akan jadi berang dan akan mengamuk. Orang yang tidak sabar dan tidak redha pula akan nampak tenang apabila semua keperluannya cukup. Tetapi kalau keperluannya berkurangan dan dia jatuh miskin, dia akan mula meracau dan mengeluh. Boleh jadi dia akan putus asa. Begitulah seterusnya.Hidup dengan Tuhan bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan. Tuhan itu diimani dan dijadikan pegangan. Segala apa dalam hidup ini dikaitkan dan disandarkan kepada Tuhan. Kita menumpang kekuatan Tuhan. Kedamaian, ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dicapai hasil dari cinta dan takut dengan Tuhan. Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri individu itu adalah hasil dari mujahadah dan memperbaiki diri atas dorongan rasa takut dengan Tuhan.Bila kita hidup dengan Tuhan, kita mudah tenang dan sabar dengan susah dan ujian kerana kita bersandar dengan Tuhan. Kalau dalam susah dan ujian pun kita boleh tenang, maka lebih-lebih lagilah kita boleh tenang dalam kesenangan dan kemewahan.Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mahu diriNya dilibatkan sama dalam segala urusan dan masalah hamba-hambaNya. Tuhan seolah-olah berkecil hati kalau kita tidak libatkan Dia dalam urusan dan masalah kita. Pada Tuhan, hamba-hambaNya itu adalah kepunyaanNya. Dialah yang paling berhak untuk membantu dan menolong hamba-hambaNya. Janganlah kita kesampingkan Dia. Marilah kita hidup denganNya.

Friday, September 5, 2008

BATALKAH PUASA ANDA JIKA....

Di copy n paste dr blog Ustaz zaharuddin....


Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-
1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.
Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Wednesday, September 3, 2008

PUASA KEMBALIKAN MANUSIA KEPADA FITRAH

Dr Osman Nasir Wed Aug 27, 08 1:31:24 pm MYT
Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.
Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.
Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.
Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali �sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam � di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.
Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.
Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.
Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.
Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.
Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.
Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.
Solat fardu
Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.
Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.
Solat tarawih
Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.
Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.
Mengaji al-Quran
Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.
Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.
Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.
Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.
Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.
Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam � alangkah indahnya suasana ini.
Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah. - mks. _