Saturday, October 25, 2008

sekadar renungan

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat 
> Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam 
> senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. 

> "Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga 
> ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,"beritahu 
> pegawai itu lagi. 

> "Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei. 
> Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. 

> Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah. 

> "Pah... oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya. 

> "Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah. 

> "Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan 
> tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana.Tak sabar betul 
> saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai, " cerita Pak Uwei dengan 
> wajah berseri-seri. 

> "Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak 
> dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai." 

> "Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. 
> Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat- 
> lewatnya minggu depan." 

> "Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun 
> lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." 
> Mak Pah merenung gusar wajah suaminya. 

> "Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka 
> tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." 
> Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang 
> itu tidak akan menghampakan harapannya. 

> "Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita 
> berunding," cadang Pak Uwei. 

> "Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok 
> kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti 
> nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan 
> rancangan Pak Uwei. 

> "Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, 
> hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh 
> lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak 
> bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali 
> ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada 
> anaknya. 

> "Tapi bang?... " 

> "Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. 
> Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah 
> melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia 
> akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia 
> hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. 

> "Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik 
> sama?" tanya Balkis. 

> "Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke 
> tidak ke, sama aje. Balik ya?... ," balas Pak Uwei. 

> Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas 
> bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata 
> anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak 
> seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur 
> sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak Uwei ingat 
> gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar 
> besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing. 

> "Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung 
> belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak 
> bekerja kilang. 

> "Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. 
> Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei. 

> "Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok 
> berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari 
> mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?" 

> "Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang 
> duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok 
> pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah." Intan 
> cuba membuat abahnya faham. 

> "Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau 
> tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!" 

> "Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, 
> kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas 
> Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya. 

> "Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... 
> aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak 
> kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!" 

> Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang 
> Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia 
> bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. 
> Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja. 

> Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula 
> dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan 
> malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu. 

> "Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit," Pak Uwei 
> memulakan bicara. 

> "Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. 

> "Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. 
> Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan 
> Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," 
> Pak Uwei mengutarakan hasratnya. 

> "Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje 
> keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi 
> bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz. 

> "Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat- 
> lewatnya minggu depan." 

> "Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak 
> pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan 
> budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah. 

> "Kau beli rumah lagi?., Rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya PakUwei 
> melindungi kekecewaannya. 

> "Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu 
> pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi 
> abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz. 

> Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis, 
> boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki 
> durian berbuah kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis. 

> "Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit 
> simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham 
> ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." 

> Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. 

> "Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. 
> Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman." 

> "Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri 
> baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang 
> menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei 
> terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan 
> menghampakannya. 

> "Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang 
> dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba 
> meredakan keadaan. 

> "Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu 
> lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak 
> ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik 
> meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. 
> Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak 
> menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat 
> kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan 
> mengecewakannya begitu. 

> "Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak 
> turut serta balik bersama abang dan kakaknya. 

> "Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai 
> kain selendangnya. 

> "Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat MakPah bersiap-siap. 

> "Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi 
> kegemarannya. " Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan 
> sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. 

> Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar. 

> "Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?" 

> "Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye." 

> "Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah. 

> "Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah 
> tu. Intan pergi dulu."sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala 
> memerhatikan Intan berlalu pergi. 

> Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat 
> anaknya itu menyisihkan diri. 

> Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang 
> menikmati juadah tengah hari. 

> "Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. 
> Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api." 

> "Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh 
> mencapai pinggan. 

> "Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang 
> lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. 
> Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia 
> mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang 
> membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain. 

> "Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ," ujar Intan menghampiri 
> mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian 
> menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca. 

> "Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan 
> meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. 

> Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak 
> sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. 
> "Abah ni... ke situ pulak...." 

> "Habis tu?" 

> "Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, 
> resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. 
> Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni 
> untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti."Intan memasukkan 
> duit itu dalam genggaman Pak Uwei. 

> "Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya 
> bagai tidak percaya. 

> "Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh 
> Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan 
> abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. 
> Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. 
> Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti 
> mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan 
> dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik 
> haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. 
> Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang 
> tak seberapa ini dari Intan," 
> tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah 
> berkedut dimamah usia. 

> "Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah 
> selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi 
> akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," 
> luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang 
> selama ini dimusuhinya. 

> "Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. 
> Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan." 

> "Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan... ,"ujar 
> Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. 

> "Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni," Mak Pah 
> mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran. 

> "Mak ni... ," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. 

> Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang 
> menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira 
> bercampur hiba. 

> "Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya 
> memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah. 

> "Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana 
> nanti?" 

> "Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang 
> penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna." 

> "Hah, awak dengar tu... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak 
> membeli-belah, " tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak 
> itu. 

> "Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang 
> Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," 
> pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. 
> Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu. 

> ............ ......... ......... ....... 

> Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei 
> mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah 
> menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap 
> di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap 
> tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah 
> suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan 
> pergi jauh. 

> "Kenapa resah aje ni, bang?" Mak Pah terjaga. 

> "Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita." 

> "Sabarlah, dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah. 

> Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka. 

> "Mak... abah... ," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya 
> tanpa dapat menahan airmata menitis laju. 

> "Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari 
> wajah Intan. 

> "Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium 
> tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" Tanya Pak Uwei terasa 
> hampa. 

> "Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, 
> dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan 
> tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. 
> Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak 
> kena. 

> "Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil 
> nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." 
> cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang 
> sedang memandu. 

> "Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz 
> cuba bergurau walaupun terasa sayu. 

> "Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah 
> nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap 
> pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?" 

> "Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," 
> ajak Azman menukar tajuk perbualan. 

> "Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. 

> Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru 
> memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir 
> menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata. 

> "Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa 
> mentuanya. 

> "Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" 
> Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. 

> "Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah. 

> "Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu 
> di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya 
> terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain 
> batik lepas. Dadanya bergetar. 

> "Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang 
> menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. 

> "Sabar abah... ," Muaz menggosok belakang abahnya. 

> "Kenapa Az... kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan 
> melangkah laju ke bilik Intan. 

> "Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang 
> terduduk lemah. 
> Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. 
> Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. 
> Pak Uwei duduk di tepi kepalanya. 

> "Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergipun dalam keadaan 
> tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," 
> pujuk Long Semah yang masih belum pulang. 

> "Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan 
> hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala 
> salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia 
> minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah. 

> "Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah 
> tersedu sedan. 

> "Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. 
> Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum 
> mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu 
> lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak 
> hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia 
> ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. 
> Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz. 

> Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan 
> memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu 
> bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah 
> belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah 
> doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.." 

> Tamat.... 

> Moral cerita ...... buat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa 
> sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara 
> berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa. 
> Renung-renungkan. ..


>

No comments: