Sunday, February 28, 2010

Untukmu Rasulullah


Sayu hatiku mengungkap rindu,
Kepada insan kekasihku,
Teringinku mendakap wajahmu,
Wajah yang bercahaya,
Mengalahkan sang suria...
Ya Rasulullah,
Cair qalbuku,
Sebak qalbuku,
Melihat dirimu, Sinar akhlakmu,
Indah peribadimu,
Kata-katamu,
Indah menusuk qalbuku...
Ya Mustofa,
Resah hatiku,
Pilu hatiku,
Melihat dirimu,
Disisih ummatmu,
Tidak pernah mereka sedar,
Pahit, pedih yang kau hadapi,
Tika Jibrail datang bertemu,
Membawa wahyu dari Ilahi,
Pasti basah peluh di dahi,
Menahan beratnya amanah ini...
Ya Rasulullah,
Cintanya dirimu kepada ummatmu,
Saat Izrail menarik nyawamu,
Menahan pedih nyawa ditarik,
Tika nyawa dihujung kerongkongmu,
Kalimah 'UMMATI!' terpatri dibibirmu,
Tanda kasih pada ummatmu...
Berakhirlah hidup seorang insan,
Berakhirlah ujian,
Berakhirlah keperitan,
Tubuh muliamu terbujur kaku,
Terkulai layu di pangkuan isterimu yang dicintai,
Tangisan sahabat mula bergema,
Merantapi pemergianmu,
Susah untuk menerima,
Pemergian seorang insan,
Insan bernama Muhammad,
Telah pergi buat selamanya,
Bergembiralah engkau Ya Rasulullah,
Bertemu habib yang kau cintai,
Bergembiralah engkau Ya Muallim,
Berumahkan istana di taman syurga...
Ya Rasulullah,
Tidak tahan hati ini,
Rinduku padamu kini menguasai,
Butir mutiara membasahi pipi,
Hatiku meronta ke sana sini,
Sudah letih ku menunggu lagi,
Meraut ketenangan diwajahmu...
Ya Habibi,
Syafaatkanlah diri ini,
Agar tenang bersemadi di sini,
Moga bertemu di taman Ilahi,
Di taman Syurga Firdausi...

Selawat dan Salam hadiah dariku, buatmu cintaku, UNTUKMU, YA RASULULLAH.......

Monday, February 8, 2010

bersabarlah....^_^

Ujian Kesabaran Nabi Ayub as
www.iluvislam.com
dihantar oleh : Rasailul Ashwaq
editor : IskethaykaL



Nabi Ayub as adalah seorang yang kaya-raya dan hidup harmoni bersama keluarganya. Pun begitu, sesuai dengan kedudukannya sebagai Nabi, Baginda tidak lupa diri. Lidah dan hatinya sentiasa berzikir dan bersyukur dengan nikmat Allah itu. Baginda juga terkenal dengan sifat sabar. Kerana itulah Iblis sangat dengki kepadanya, lalu memohon izin kepada Allah Taala untuk menguji kesabaran Nabi Ayub supaya sesat.

"Engkau boleh datangkan musibah ke atas seluruh harta benda dan keluarganya, tetapi engkau tidak mampu mengenakannya ke atas tubuh badannya," tegas Allah swt.

Iblis pun mengumpulkan kekuatannya. Segala jin dan syaitan dikerah menghadap Iblis. Iblis membahagi-bahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. Masing-masing diberikan tugas khas. Misi mereka semua ialah memusnahkan segala-gala milik Nabi Ayub as. Selain harta benda yang musnah, anak-anak Nabi Ayub mati kesemuanya dikerjakan tentera Iblis. Kemudian Iblis datang menemui Nabi Ayub as dan berkata;

"Wahai Ayub, lihatlah malapetaka yang Tuhan datangkan kepadamu. Anak-anakmu, harta bendamu kini musnah semuanya. Itulah tandanya Allah swt tidak terima amal ibadahmu selama ini."

"Allahlah yang Maha Pemberi dan Dia jugalah yang berhak mengambilnya semula," jawab Nabi Ayub tenang.

Marah sungguh Iblis mendengar kata-kata itu. Lalu dia kembali menghadap Allah.

"Ya Allah! Ayub telah hilang segala-galanya namun imannya tetap teguh. Izinkan aku untuk uji dia lagi, kali ini ke atas tubuh badannya. Biar dia tidak lagi menunaikan ibadah kepadaMu ," mohon Iblis kepada Allah swt.

"Engkau boleh sakiti tubuh badannya, tetapi tidak hatinya," tegas Allah swt.

Sekali lagi Iblis dan konco-konconya mendatangkan musibah kepada Nabi Ayub as.

Ditiupkan penyakit kepada Nabi Ayub.

Menderitalah Nabi Ayub menanggung sakit dan dipulaukan orang ramai kerana takut berjangkit.
Hanya isterinya yang masih setia di sisi.

Biar habis tubuhnya diserang penyakit, namun hati Nabi Ayub as tidak henti-henti memuji dan bertasbih kepada Allah.

Gagal menyesatkan Nabi Ayub, Iblis menggoda pula isteri Baginda. Sehinggakan isterinya berasa tidak tertanggung lagi dengan kehidupan itu. Dia menyuruh Nabi Ayub berdoa kepada Allah agar dipulihkan keadaan.


"Telah berapa lama kita nikmati hidup mewah pemberian Allah?" Tanya Nabi Ayub kepada isterinya.

"Tujuh puluh tahun," jawab isterinya.

"Berapa lama pula kita menanggung penderitaan ini?" Tanya Nabi Ayub.

"Tujuh tahun," jawab isterinya lagi.

"Aku malu untuk memohon kepada Allah supaya ditamatkan penderitaan ini jika dibandingkan dengan nikmat yang diberi-Nya selama ini. Marilah kita sama-sama bersabar menghadapinya," jelas Nabi Ayub.

Iblis tewas dalam usahanya menghasut Nabi Ayub. Ternyata, kesabaran merupakan senjata paling ampuh untuk menundukkan Iblis laknatullah. Bertambah-tambah bencilah Iblis kepada Nabi Ayub.


Nukilan editor : Kesabaran seorang Nabi ini adalah satu contoh yang baik kepada kita dalam menghadapi kehidupan di dunia ini yang serba mencabar. Sesungguhnya setiap satu ujian yang diturunkan kepada kita datang daripada Allah swt untuk menguji keimanan. Dan ingatlah ayat 286, surah al-Baqarah, Allah swt itu Maha Adil. Semoga kehidupan di dunia ini menjadi pemangkin ke arah kehidupan yang abadi di akhirat. InsyaAllah.


Maksudnya : Allah swt tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...(sehingga ke akhir ayat) ~ Surah al-Baqarah ayat 286.

Thursday, February 4, 2010

BULAN INI BULAN CINTA


Bulan Februari, bulan yang dinanti-nantikan oleh pasangan kekasih. Apa yang istimewanya dengan bulan ini? Tak lain tak bukan, setiap 14 Februari mereka meraikan Hari Kekasih yang juga dikenali sebagai Valentine's Day.

Membuta tuli barangkali, meraikan dengan penuh keghairahan tanpa mengetahui sejarah dan kisah sebenar Hari Valentino diraikan. Islam mengajar kita mencegah kemungkaran dengan tangan, jika tidak mampu cegahlah dengan perkataan dan jika masih juga tidak berkeupayaan, cegahlah dengan hati. Doa. Benci kepada kemaksiatan. Benci kepada kemungkaran. Jangan sekali-kali menyokong atau mengiyakannya! Andai kita meraikan Valentines' Day, bukankah ini bermakna kita menyokong tindakan Valentino pada satu masa dahulu?? Istighfarlah.. istighfar.. minta keampunan dari Allah.


Setiap Hari adalah Hari Kekasih

Kenapa mesti tunggu 14 Februari? Bukankah tidak sempurna iman seseorang seandainya dia tidak mengasihi saudara seagamanya? Bukankah agama kita agama yang penuh kasih sayang? Apa salahnya kita berkasih sayang setiap hari? Berkasih dan bersayang pada orang yang sepatutnya dengan cara yang bersesuaian. Tidak melanggar syarak, tidak melampaui batas.

Kasih kepada ibu bapa, kepada keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Kasih kepada fakir miskin dan anak yatim. Kasih kepada mereka yang berhak.

Malangnya. Bukan perkara baru, sebagai meminta bukti kasih dan sayang dari si gadis, si teruna memujuk rayu, "Kalau betul sayangkan saya, buktikan!". "Kalau sungguh cintakan saya, tidurlah dengan saya!". "Kalau betul percaya dengan cinta saya, serahkan benda yang paling berharga itu, saya akan jaga kamu sampai bila2!"

Justeru, sebagai lambang cinta si gadis pula, dengan penuh kasih sayang, sanggup serahkan diri, korbankan mahkota diri. Bertepuk soraklah syaitan laknatullah, sepasang anak cucu Nabi Adam tumbang dalam kancah kemaksiatan. Astagfirullahalazim..

Inikah makna cinta? Inikah makna kasih dan sayang? Adakah ini yang diajar oleh agama kita?
Bila yang halal dan yang haram dicampuradukkan, manusia kian keliru. Mudah goyah dan cepat tewas dengan pujuk rayu. Siapa yang harus dipersalahkan?

Jangan menunding jari, muhasabah diri kita. Katakan TIDAK pada Hari Valentine. Tak perlulah kita menghambakan diri, membuta tuli menjadikan Barat sebagai kiblat kita. Jangan biarkan budaya kuning berleluasa dan berkuasa dalam diri kita. Usah gadaikan maruah, prinsip dan harga diri demi mengejar makna cinta yang salah. Keseronokan yang sementara, sengsara menanti di hadapan.

Bercintalah, berkasih sayanglah tapi ingat syurga Allah hanya bagi mereka yang beriman kepada-Nya, patuhi suruhan-Nya, jauhi larangan-Nya. Hidup di dunia cuma sementara, akhirat itulah yang kekal abadi.