Monday, February 8, 2010

bersabarlah....^_^

Ujian Kesabaran Nabi Ayub as
www.iluvislam.com
dihantar oleh : Rasailul Ashwaq
editor : IskethaykaL



Nabi Ayub as adalah seorang yang kaya-raya dan hidup harmoni bersama keluarganya. Pun begitu, sesuai dengan kedudukannya sebagai Nabi, Baginda tidak lupa diri. Lidah dan hatinya sentiasa berzikir dan bersyukur dengan nikmat Allah itu. Baginda juga terkenal dengan sifat sabar. Kerana itulah Iblis sangat dengki kepadanya, lalu memohon izin kepada Allah Taala untuk menguji kesabaran Nabi Ayub supaya sesat.

"Engkau boleh datangkan musibah ke atas seluruh harta benda dan keluarganya, tetapi engkau tidak mampu mengenakannya ke atas tubuh badannya," tegas Allah swt.

Iblis pun mengumpulkan kekuatannya. Segala jin dan syaitan dikerah menghadap Iblis. Iblis membahagi-bahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. Masing-masing diberikan tugas khas. Misi mereka semua ialah memusnahkan segala-gala milik Nabi Ayub as. Selain harta benda yang musnah, anak-anak Nabi Ayub mati kesemuanya dikerjakan tentera Iblis. Kemudian Iblis datang menemui Nabi Ayub as dan berkata;

"Wahai Ayub, lihatlah malapetaka yang Tuhan datangkan kepadamu. Anak-anakmu, harta bendamu kini musnah semuanya. Itulah tandanya Allah swt tidak terima amal ibadahmu selama ini."

"Allahlah yang Maha Pemberi dan Dia jugalah yang berhak mengambilnya semula," jawab Nabi Ayub tenang.

Marah sungguh Iblis mendengar kata-kata itu. Lalu dia kembali menghadap Allah.

"Ya Allah! Ayub telah hilang segala-galanya namun imannya tetap teguh. Izinkan aku untuk uji dia lagi, kali ini ke atas tubuh badannya. Biar dia tidak lagi menunaikan ibadah kepadaMu ," mohon Iblis kepada Allah swt.

"Engkau boleh sakiti tubuh badannya, tetapi tidak hatinya," tegas Allah swt.

Sekali lagi Iblis dan konco-konconya mendatangkan musibah kepada Nabi Ayub as.

Ditiupkan penyakit kepada Nabi Ayub.

Menderitalah Nabi Ayub menanggung sakit dan dipulaukan orang ramai kerana takut berjangkit.
Hanya isterinya yang masih setia di sisi.

Biar habis tubuhnya diserang penyakit, namun hati Nabi Ayub as tidak henti-henti memuji dan bertasbih kepada Allah.

Gagal menyesatkan Nabi Ayub, Iblis menggoda pula isteri Baginda. Sehinggakan isterinya berasa tidak tertanggung lagi dengan kehidupan itu. Dia menyuruh Nabi Ayub berdoa kepada Allah agar dipulihkan keadaan.


"Telah berapa lama kita nikmati hidup mewah pemberian Allah?" Tanya Nabi Ayub kepada isterinya.

"Tujuh puluh tahun," jawab isterinya.

"Berapa lama pula kita menanggung penderitaan ini?" Tanya Nabi Ayub.

"Tujuh tahun," jawab isterinya lagi.

"Aku malu untuk memohon kepada Allah supaya ditamatkan penderitaan ini jika dibandingkan dengan nikmat yang diberi-Nya selama ini. Marilah kita sama-sama bersabar menghadapinya," jelas Nabi Ayub.

Iblis tewas dalam usahanya menghasut Nabi Ayub. Ternyata, kesabaran merupakan senjata paling ampuh untuk menundukkan Iblis laknatullah. Bertambah-tambah bencilah Iblis kepada Nabi Ayub.


Nukilan editor : Kesabaran seorang Nabi ini adalah satu contoh yang baik kepada kita dalam menghadapi kehidupan di dunia ini yang serba mencabar. Sesungguhnya setiap satu ujian yang diturunkan kepada kita datang daripada Allah swt untuk menguji keimanan. Dan ingatlah ayat 286, surah al-Baqarah, Allah swt itu Maha Adil. Semoga kehidupan di dunia ini menjadi pemangkin ke arah kehidupan yang abadi di akhirat. InsyaAllah.


Maksudnya : Allah swt tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...(sehingga ke akhir ayat) ~ Surah al-Baqarah ayat 286.

No comments: